Monday, July 20, 2009

Keindahan air terjun Lata Rek gagal dipromosi



BAGI anda yang tidak biasa memandu di jalan sempit apatah lagi kadangkala berliku jauh dalam kawasan hutan dan juga kebun getah, anda tidak mungkin sampai ke air terjun Lata Rek, terletak di pedalaman Manek Urai, tengah Kelantan.
Dari simpang Jalan Kuala Krai-Kota Bharu menuju ke Batu Balai ia terletak kira-kira 50 kilometer manakala dari simpang Jalan Kuala Krai-Manek Urai kawasan itu mungkin kira-kira 25 kilometer saja.




Usah terkejut jika sekali sekala anda terserempak ular sedang melintas jalan di depan anda atau bangkai musang tergelimpang di tepi jalan raya. Musang yang agak cantik itu mati dilanggar ketika dihalau pemilik durian di tepi jalan raya.
Jika anda memandu dari Batu Balai pastikan anda berhenti kira-kira 50 meter dari kawasan kolam Lata Rek untuk menaiki dan melintasi jambatan gantung agak using di situ dengan sebuah lagi tidak jauh dari situ.





Kedua-dua jambatan itu dibina tidak lama selepas perkampungan Lata Rek dibuka oleh kumpulan pemuda ‘gagah’ dikerah dari beberapa kawasan di Kelantan mengikut Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) sekitar tahun 1970-an.

Mengikut cerita kebanyakan pemuda yang terpilih menyertai RKT ini adalah yang berani dan disegani selain mereka adalah golongan ‘gedebe’ dipilih oleh ketua kampung membuka kawasan pedalaman dan hutan di Manek Urai.
Menggunakan parang dan semangat berkobar-kobar golongan pemuda ini berjaya membuka bukan saja satu kawasan malah Chuchoh Puteri, Sungai Sok, Sungai Peria, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru, Sungai Pas dan Bukit Tonggek.
Mereka membina rumah papan di pinggir 10 ekar kawasan dijadikan kebun getah yang dianugerahkan di bawah RKT.



Kini hampir 40 tahun selepas dibuka kebanyakan rumah sudah dibina semula oleh peneroka dan anak-anak mereka tetapi rumah asal yang hampir tumbang dan berpapan berlapuk masih dapat dilihat di beberapa bahagian Lata Rek.
Apa yang pasti anak-anak peneroka yang berjaya dalam pelajaran di sekolah-sekolah dibina Kerajaan Pusat sudah lama meninggalkan kampung halaman di Manek Urai bagi mencari pekerjaan di Lembah Klang.
Mereka akhirnya menyalurkan sumbangan bagi membina semula rumah bapa mereka menjadikan sebahagian Manek Urai berseri.
Bagaimanapun, apa yang agak menyedihkan adalah kawasan air terjun Lata Rek sendiri. Mujur sebuah bangunan tempat persalinan dan tandas awam sudah dibina Kerajaan Pusat.
Jelas potensi Lata Rek sebagai daya tarikan pelancongan dalam negeri tidak dieksploit oleh kerajaan negeri Kelantan.

Tidak ada pejabat promosi ataupun papan tanda mengenai daya tarikan air terjun begitu nyaman dan menarik kelihatan di jalan masuk dekat simpang Lata Rek-Laloh atau dekat jalan utama Manek Urai-Gua Musang-Kuala Krai.
Ketiadaan prasarana seperti gerai menjual makanan atau air juga amat terasa bagi pelawat ke air terjun ini. Mengapakah potensi Lata Rek tidak terokai oleh kerajaan Pas? Nampaknya segala-galanya jumud khususnya pembangunan baik di Lata Rek, Manek Urai atau di Kuala Krai!

No comments: